Dipenjara Selepas Bantah Dihantar Pulang

Cox’s Bazar (Bangladesh): Dua lelaki etnik Rohingya dihukum penjara seminggu kerana membantah rancangan kontroversi untuk menghantar pulang komuniti itu ke Myanmar, kata polis semalam.

Ratusan pelarian Rohingya memegang sepanduk, melaungkan slogan ketika membantah rancangan itu di beberapa kem penempatan di Cox’s Bazar berhampiran sempadan Myanmar.

Bangladesh menegaskan dalam rancangan itu pelarian dihantar pulang secara sukarela tetapi pihak berkuasa meningkatkan kawalan di kem pelarian.

Abdul Jabbar dan Ali Hossain yang kedua-duanya berusia 60-an dihukum penjara kelmarin selepas didakwa mengganggu ketenteraman awam.

Seorang lagi lelaki yang ditahan ketika bantahan itu dibebaskan dengan syarat tidak terbabit lagi dengan aktiviti aktikerajaan atau tunjuk perasaan.

Bangladesh dijadual memulakan penghantaran pulang ratusan ribu Rohingya pada minggu ini selepas bersetuju dengan Myanmar untuk menamatkan proses itu dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, ia tertangguh selepas Bangladesh mendakwa kedua-dua belah pihak belum bersedia. Myanmar kemudian menyalahkan jirannya itu kerana kurang membuat persediaan.

Hampir 690,000 etnik Rohingya melarikan diri dari kampung halaman mereka di utara Myanmar sejak Ogos lalu selepas operasi tentera membunuh ratusan etnik itu dan membakar kampung.

 

Sumber: My Metro 

Hantar Komen