“Saya Lebih Selesa Berkaki Ayam Atas Pentas GV4” – Elyana

Bintang GegarVaganza 4 (GV4), Elyana akui lebih selesa untuk tampil tidak berkasut semasa membuat persembahan.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal berkata, cara itu membuatkan dia lebih berkeyakinan untuk beraksi atas pentas.

“Dari dahulu lagi saya memang seorang manusia yang tidak boleh memakai kasut ketika membuat persembahan.

“Sebab kalau berkasut, saya akan jadi gugup dan lupa dengan semua benda yang akan dilakukan. Jadi saya berkaki ayam untuk keselesaan diri saya sendiri.

“Untuk persembahan minggu hadapan, tengoklah bagaimana sama ada berkasut atau pun tidak.

“Bergantung kepada jenis kasut yang saya rasa selesa untuk bergerak atas pentas, saya akan pakai.

“Tapi setakat ini saya masih selesa untuk berkaki ayam,” katanya kepada Gempak.

Elyana ditemui selepas konsert pertama GV4 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada Ahad.

 

Dalam pada itu, Elyana yang menyampaikan lagu Tak Tercapai Akalmu juga turut menyatakan rasa berbesar hati apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Gelora Vida Vaganza bagi kategori Lagu Paling Diingati.

“Saya sangat berbesar hati dan memang tak sangka langsung, waktu saya terima anugerah itu pun rasa seperti tak percaya.

“Sebab pada saya, rasanya lebih banyak lagi lagu-lagu lama yang orang kata lebih layak untuk menang,” ujarnya.Konsert pertama GV4 menyaksikan Elyana berada di kedudukan ketujuh dengan peratusan sebanyak 85%. GV4 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Saksikan juga Kapsul Gegar Vaganza yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 10.55 malam. 

Foto: Instagram @elyanaofficial ,  Teks oleh: Mya Amri  

 

Sumber: Gempak 

Hantar Komen