“Saya Memang Nak Kahwin” – Zara Zya

TATKALA soalan tentang cinta diutarakan, terpancar sinar bahagia daripada relung mata pelakon, Zara Zya. Bibit-bibit cinta barangkali sedang menyelusup masuk ke segenap ruang hatinya.

Tiada yang lebih menggembirakan selain dipertemu dengan lelaki yang mampu mengetuk dan mengunci pintu hati seorang wanita yang mendambakan cinta suci.

Membuka tahun 2019, rezeki pelakon dan penyanyi Zara Zya semakin murah dalam bidang hiburan. Tidak putus menerima tawaran lakonan, Zara juga berjinak-jinak dalam bidang nyanyian serta perniagaan.

Ketika ditanya mengenai apa lagi yang ingin dicapai, Zara mengakui dia teringin untuk mendirikan perkahwinan.

“Sejujurnya, jika ada yang bertanya apa lagi yang saya mahu capai, saya nak mendirikan rumah tangga. Insya-Allah.

“Tetapi saya sendiri tak berani nak cakap lebih-lebih kerana saya berada di pihak perempuan. Soal jodoh, saya serahkan kepada Allah. Mohon doakan yang baik-baik,” kata Zara.

Sedang berkawan rapat dengan aktor Hafreez Adam, Zara menyifatkan aktor itu sebagai seorang yang cukup memahami dan matang dalam bercinta.

Pernah beberapa kali gagal dalam percintaan sebelum ini, perjalanan cinta dengan Hafreez yang belum memasuki usia setahun itu dirasakan cukup berbeza biar pun usia mereka lima tahun jaraknya.

Kematangan dan kesabaran lelaki itu dalam melayan kerenahnya benar-benar membuat aktres berusia 33 tahun ini selesa mendampingi Hafreez. Malah mereka juga sebenarnya berkongsi perangai ‘gila-gila’.

“Saya rasa selamat dan yakin di samping dia. Biarpun usia kami berbeza jarak lima tahun tetapi dia sangat matang dan bijak dalam memberi pendapat. Saya selalu meminta nasihat daripadanya.

“Setakat ini, saya selesa dengannya. Dia pun kepala ‘gila-gila’ juga. Saya pernah bercinta dengan lelaki yang membosankan sebelum ini dan Hafreez sangat berbeza daripada mereka.

“Dulu kalau bercinta, saya cepat marah dan mudah cemburu. Tetapi mungkin usia sudah lebih matang sekarang jadi banyak yang perlu dikawal,” katanya yang popular dengan drama Love You Mr. Arrogant.

Tular dalam laman sosial apabila dia membuat kejutan sempena ulang tahun kelahiran Hafreez ke-28, Zara mendapat pujian apabila rata-rata peminat menyifatkan mereka sebagai pasangan romantis.

Tiada niat langsung untuk menunjuk-nunjuk, jelas Zara, dia mahu menyambut ulang tahun Hafreez dengan cara yang cukup istimewa dan akan diingati buat selama-lamanya.

“Siapa yang tidak suka perkara yang menyeronokkan, ramai peminat yang menghantar pesanan kepada saya sebab nak buat cara sambutan sama. Saya pun tak sangka sebenarnya, romantis juga saya ini.

“Sebenarnya ulang tahun Hafreez jatuh pada bulan puasa. Lagipun, kami tak ada masa untuk menyambut bersama-sama kerana masing-masing sibuk dengan penggambaran. Susah hendak jumpa,” katanya.

Diajukan soalan sejauh mana hubungan mereka, Zara hanya tersenyum manja. Dia seboleh-boleh tidak mahu terburu-buru dalam menyusun langkah terutama dalam hal melibatkan perkahwinan.

Yang dihajati daripada setiap peminat adalah doa tulus ikhlas supaya hubungan cinta mereka akan terus mekar hingga menaiki pelamin dan menikmati cinta yang dimiliki sepuas-puasnya.

“Saya sudah lama kenal Hafreez. Seingat saya, ketika itu, dia sudah ada teman wanita. Tetapi Tuhan pertemu kami kembali di set (drama) Monalisa dan kami mula jatuh cinta.

“Kalau tanya fasal kahwin, kami belum fikir ke arah itu. Ya, masing-masing sudah bertemu keluarga tetapi banyak lagi perkara yang perlu diambil kira sebelum berkahwin,” katanya.

Zara kini sedang sibuk di set penggambaran drama bersiri Pia.

“Saya bergandingan dengan Alif Satar, Naim Daniel, Azira Shafinaz dan ramai lagi.

“Drama bersiri ini mendapat sentuhan pasangan suami isteri Sheila Rusly dan Azman Yahya dan akan disiarkan pada bulan Ramadan nanti, Insya-Allah,” katanya lagi.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! LM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LimauManis

Sumber : mNews

Hantar Komen