Mahu Tunai Hasrat Anak

Peru: Pada 2008, Noor Azimah Sapie sepatutnya hanya bercuti ke Peru selama 10 hari selepas mendapat tawaran melancong percuma.

Dia terpesona dengan tawaran yang turut diberikan wang saku AS$1,000 dan hanya dikehendaki membawa sampul apabila pulang ke Malaysia.

Ketika itu dia berusia 28 tahun dan menjanda selepas kematian suami.

Azimah, kini 38 tahun, lupa tarikh sebenar dia berlepas, tetapi segar dalam ingatan dia meninggalkan seorang anak lelaki berusia 11 tahun bersama keluarganya di Malaysia.

Percutian yang sepatutnya hanya 10 hari, bertukar menjadi mimpi ngeri sehingga terpaksa mengharungi kehidupan serba kekurangan selama 10 tahun di negara asing.

Petang ini (Isnin 26 Mac) dia tiba di Malaysia dan sangat teruja untuk bertemu semula anaknya yang kini berumur 21 tahun.

“Saya rindu sangat dengan dia. Saya kesal dengan apa yang berlaku.

“Ini kerana kebodohan saya. Saya nak tebus semula kesilapan ini dan bersatu semula dengan anak saya.

“Saya nak membantu dia yang sudah mendapat tawaran kerja, selain sambung belajar.

“Saya juga akan belikannya jam tangan bertali kulit yang dia minta,” katanya sambil teresak menangis dalam pertemuan di sini, Sabtu lalu.

AZIMAH. FOTO NSTP

Azimah kembali ke Malaysia hasil usaha Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) dan BH dengan bantuan serta kerjasama Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Peru.

Misi dimulakan selepas BH menyiarkan laporan eksklusif pada akhir 2016 mengenai rayuan Azimah, Nor Suzanna Azmi dan Syzlin Hataman yang terkandas di sini, semua akibat terpengaruh dengan tawaran melancong oleh anggota sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Syzlin dari Johor Bahru yang menghidap kencing manis dan asma, bagaimanapun meninggal dunia di hospital di sini pada 7 Oktober tahun lalu.

Azimah yang pulang bersama anak, Qistina Maisara Alarcon Sapie, 8, hasil perkahwinan dengan warga Peru, Emilio Ignacio Alarcon Leon @Osman, 41, bernasib baik kerana tidak meringkuk dalam penjara seperti Suzanna dan Syzlin.

Dia hanya hidup sebagai pendatang tanpa izin dan gelandangan di negara asing selama 10 tahun.

Wanita yang dilahirkan di Terengganu, dibesarkan di Negeri Sembilan dan menetap di Kuala Lumpur sebelum terkandas di Peru, menghadapi keperitan hidup sepanjang di sini, tetapi terhutang budi kepada lelaki Peru itu.

Osman yang ditemui di sebuah hotel selepas dua kali gagal keluar dari Peru kerana ditipu oleh sindiket berkenaan, banyak membantunya, termasuk bekerja sebagai pembantu di restoran tempat lelaki itu bekerja.

“Pada awalnya, saya ada sedikit wang lebihan daripada duit poket sebanyak AS$1,000 itu.

“Duit itu pun habis dan saya terpaksa bergantung harap kepada Osman untuk menyambung hidup,” katanya.

Dia yang tidak tahu di mana untuk cari bantuan, pada awalnya tidak tahu ada kedutaan Malaysia di sini.

Sering kali Azimah terpaksa menebal muka meminta bantuan kewangan daripada keluarga di Malaysia, terutama abangnya yang tinggal di Ampang, Kuala Lumpur.

AZIMAH (lima dari kanan) dan Suzanna (enam dari kanan) ketika di Peru bersama Ahmad Zaini (dua dari kiri). FOTO NSTP
 
 
Sumber: hmetro 
Hantar Komen