Pelik! Remaja Ini Tak Pernah Makan Nasi Sejak Lahir, Akan Muntah Setiap Kali Dipaksa…

Pelik tapi benar. Mungkin satu dalam sejuta. Seorang remaja berusia 17 tahun, Muhammad Daniel Mohd Idham langsung tidak pernah makan nasi sejak lahir. Bukan saja nasi tetapi makanan lain seperti aiskrim dia juga tidak menyukainya.

Cubalah, letak makanan enak-enak. Ayam, udang atau sotong dengan pelbagai gaya masakan, remaja ini langsung tidak terliur untuk menjamahnya. Malah kalau dipaksa makan, reaksi mukanya seperti orang mahu termuntah.

Untuk keperluan tenaga,  dia hanya minum 15 cawan air susu coklat atau lebih untuk memberinya tenaga tambahan. Disebabkan langsung tidak makan, berat Daniel hanya 45 kg.

Keganjilan dialami remaja yang kini bersekolah di SMK Ampang Pecah, Kuala Kubu Bahru (pendidikan khas) menjadikan dirinya popular di sekolah kerana kelainan dialaminya. Hasil pemeriksaan rapi doktor sejak kecil, keganjilan ini disebut sebagai “Eating Disorder” iaitu kegagalan menerima makanan.

Beginilah reaksi Daniel yang baru belajar makan bubur beberapa hari lalu

Sekalipun kurus tetapi Daniel nampak sihat

Ini adiknya, Irfan Syariffudin yang baru berusia 12 tahun dengan berat 63 kg

Menurut ibunya, Suhaila Saidon, 43 tahun, dia mula menyedari kelainan anaknya dari lahir bila disuapkan bubur. “Memek mukanya seperti tidak dapat menerima makanan. Menangis bila dipaksa makan. Hari demi hari, bulan demi bulan, dari pelbagai pemeriksaan rapi di pelbagai pakar perubatan, akhirnya kami sekeluarga menerima hakikat yang Daniel langsung tidak berminat dengan makanan,” katanya yang berniaga gerai makanan di Kuala Kubu Bharu.

“Puas kami sekeluarga bawa ke pelbagai hospital. Buat macam-macam gimik untuknya supaya dia makan tapi Daniel langsung tak tertarik. Malah pada usianya 8 tahun, pernah pengacara nombor satu Malaysia, Datuk Aznil Nawawi menjemput Daniel ke Radio Era dan Pak Nil cuba suapkan dia airkrim. Memang dia tak boleh makan langsung.

“Malah dari kecil sehinggalah sekarang pada usianya 17 tahun, baru tahun ini dia cuba-cuba makan bubur cair. Itupun sekadar lalu ditekak sahaja kerana sebaik dia menyuap  sesudu bubur, dia akan mengambil air lalu diminum bersama.

“Dalam erti kata lain, Daniel tak makan pun sebenarnya,” katanya yang telah mengisar kurma, badam dan kismis sehalus-halusnya untuk memberikan tenaga tambahan buat anaknya,” katanya memaklumkan makanan itu pun dimakan sesudu sejak setahun lalu. Dipaksa dan bukan dengan rela hati Daniel, jelas Sue.

Sudah puas berubat termasuk hospital dan pengamal perubatan tetapi Daniel masih tidak mahu makan – Sue

Dalam pada itu jelas Suhaila, sebelum ke sekolah, anaknya akan minum lebih kurang tiga cawan susu coklat berjenama ReeVo yang dibekalkan oleh syarikat Ryveera Chocolate (satu kempen dana telah ditubuhkan bagi membantu Daniel)  yang bersimpati dengan nasib remaja ini. Malah dalam tempoh empat hari, anaknya itu memerlukan sekurang-kurangnya 2 kg ReeVo untuk keperluan pemakanannya.

“Saya sekeluarga sangat bersyukur kepada Executive Directornya, Tuan Haji Sharil yang memberikan  bantuan susu coklat ReeVo ini. Sejak meminumnya tubuh Daniel nampak lebih sihat dan jarang sakit. Ia membantu perkembangan fizikalnya malah kelihatan cergas, sama seperti remaja seusianya.

“Dulu saya akui penat dan puas menangis. Kerana bila tahu Daniel tidak boleh makan tanpa sebab yang kukuh. Puas berubat ke sana ke mari termasuk berjumpa pengamal perubatan. Tapi tetap Daniel tak mahu makan. Malah pemeriksaan doktor turut mengesahkan bahawa Daniel mengidap mild disleksia, mild ADHD dan mild autism.

“Alhamdulillah, bila berubah remaja, penyakit ADHDnya sudah berkurangan. Masalah disleksinya juga semakin tiada kecuali autism. Namun Daniel mampu menguruskan dirinya sendiri,” katanya yang mempunyai seorang anak lagi iaitu Muhammad Irfan Sharifuffin, 12 tahun dengan berat 63 kg.

Daniel bersama Executive Director ReeVo, Tuan Haji Sharil

Tambah Sue lagi, disebabkan keunikan ini, anaknya kerap menerima jemputan untuk berkongsi kisah kehidupannya. Jika semasa kecil Daniel agak ragu-ragu dan menyorok tetapi perkenalan dengan Bob AF banyak mengubah pendirian remaja ini untuk tampil berani.

“Baru-baru ini kami ke UIA. Pakar yang pernah merawatnya kagum dengan keberanian Daniel bercerita di hadapan khalayak ramai. Sebagai ibu, saya begitu gembira dengan perubahan ditunjukkannya. Mungkin kata orang, inilah doa-doa yang sering ditadahkan kepada Allah. Pantang orang ke Makkah, pasti saya kirimkan doa buat Daniel untuk dia merasai nikmat makan ini,” katanya menceritakan anaknya itu pernah kritikal akibat gastrik keterlaluan hingga perlu ditahan wad semasa kecil.

 

Sumber: Remaja 

Hantar Komen