Suami Romantis – Rasulullah S.A.W

Suami Romantis – Rasulullah S.A.W – Suami ibarat matahari, memberi cahaya dan kehangatan. Isteri ibarat bulan, cantik, lembut dan indah dipandang. Seorang isteri amat mendambakan kasih sayang daripada suaminya. Kasih sayang ini diperlihatkan dalam bentuk perbuatan dan ucapan. Bukan sekadar dipendamkan dalam hati. 

Setiap isteri suka apabila suami pandai mempamerkan cintanya. Sikap romantik seorang suami terhadap isteri adalah sifat yang digalakkan dalam Islam. Itulah penyubur kasih sayang antara suami dengan isteri. Sifat ini perlu dikekalkan sepanjang masa walaupun ketika usia semakin tua. Anak-anak dan cucu-cucu tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak lagi bersifat romantik. 

 

Sikap romantis lahir daripada hati yang kaya dengan kasih sayang. Sikap ini adalah manifestasi daripada akhlak mulia yang terpancar melalui percakapan dan perbuatan sehari-hari. Sikap ini bukan sekadar perlu dilahirkan di bilik tidur, sebaliknya di mana-mana pun dan pada bila-bila masa selagi ia berada dalam batas kesopanan adab Islam. 

Rasulullah S.A.W Seorang Suami Romantis

Rasulullah SAW selalu berpegangan tangan dengan isterinya semasa mereka berada di rumah. Kadangkala Baginda memotong kuku isterinya, mandi junub bersama-sama dan akan mengajak salah seorang daripada isteri Baginda untuk musafir bersama-sama untuk mengeratkan ikatan kasih sayang. Baginda juga memanggil isteri-isteri Baginda dengan panggilan yang mesra dan menyenangkan. Panggilan yang sentiasa lembut dan lunak menunjukkan kasih sayang Baginda terhadap isteri-isterinya.

Hadiah merupakan tanda kasih atau simbol kepada kasih sayang suami terhadap isterinya. Rasulullah SAW amat menggalakkan amalan memberi hadiah dalam rumah tangga kerana dengan cara ini kasih akan bertambah. Sudah menjadi sunatullah, semua orang suka bergurau senda dan bergelak-ketawa. Ini termasuklah gurau senda antara suami isteri. Rasulullah SAW suka berjenakan tetapi Baginda tidak berkata melainkan yang benar.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Segala sesuatu selain zikir kepada Allah adalah permainan dan sia-sia kecuali empat keadaan; seorang suami yang bergurau senda dengan isterinya, seseorang yang melatih kudanya, seseorang yang berjalan menuju antara dua sasaran, dan seseorang yang berlatih berenang.” (H.R: al-Nasa’i)

Pada suatu hari, sekumpulan wanita datang menemui para isteri Rasulullah SAW untuk mengadu mengenai suami-suami mereka. Apabila Rasulullah SAW mengetahuinya, baginda lantas mengatakan:

“Suami-suami mereka itu bukan yang terbaik di kalangan orang-orang mu.” (Sahih Abu Dawud). Baginda juga mengatakan “Sebaik-baik di kalangan kamu ialah yang terbaik terhadap keluarganya, dan akulah yang terbaik di kalangan kamu terhadap keluargaku.” (Sahih al-Tirmidhi dan Ibn Majah).

Wanita Ciptaan Allah yang Amat Istimewa – Gambar Sekadar Hiasan

 

Wanita merupakan ciptaan Allah yang amat istimewa. Allah telah memerintahkan kaum Adam agar membela dan menyayangi wanita dengan sebaik-baiknya. Nikmat Allah yang terlalu bernilai ini wajib disyukuri. Allah juga telah mencipta para srikandi mulia di sisi Rasulullah SAW agar kisah kehidupannya dapat diteladani oleh wanita muslimah pada zaman ini. Masih ramai yang belum dapat dikenali, inikan pula untuk dihayati.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! LM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LimauManis

Sumber : hasrulhassan.com

Hantar Komen