3 Resipi Laksa Yang Sesuai Dijadikan Hidangan Keluarga

Di Malaysia ni ada pelbagai jenis laksa dan setiap satunya punya rasa dan keenakan yang tersendiri. Hari ni RASA kongsikan tiga resipi laksa yang boleh dicuba. Memang sedap

 1. LAKSA PENANG

BAHAN BAHAN:

  • 1 bungkus laksa
  • 2kg ikan kembung | rebus dan ambil isi
  • 2 biji bawang besar
  • 15 bawang merah
  • 2 ibu jari belacan
  • 1 senduk cili kisar
  • 15 keping asam keping
  • 2 bunga kantan | belah 4
  • 1 ikat daun kesum
  • Garam

BAHAN HIASAN

  • Telur | rebus dan belah 2
  • Timun | hiris
  • Salad | hiris
  • Bawang besar | hiris
  • Cili hidup | hiris
  • Limau kasturi | belah 2
  • Daun pudina | jika suka
  • Cili padi  (jika suka)
  • Otak udang (jika suka)

CARA MEMASAK:

  1. Rebus ikan dan air rebusan disimpan untuk dibuat kuah.
  2. Kisar isi ikan jangan sampai hancur untuk dapatkan kuah yang terasa isi ikannya.
  3. Kisar bahagian kepala ikan dan tulang. Kemudian tapis airnya.
  4. Masukkan bawang yang dikisar bersama belacan dan cili kisar ke dalam air rebusan ikan.
  5. Masukkan asam keping, daun kesum dan bunga kantan.
  6. Masukkan isi ikan yang di kisar tadi.Masak dengan api perlahan dan biarkan merenih.
  7. Masukkan garam dan sesuaikan rasa serta kepekatannya.
  8. Bolehlah dihidangkan bersama kuah laksa dan bahan hiasannya.

Info chef: Pastikan ikan kembung adalah segar untuk mendapat kuah laksa yang benar-benar enak.

 

2. LAKSA LEMAK PANTAI TIMUR

BAHAN-BAHAN:

  • 2kg laksa basah
  • 8 ekor ikan selayang | direbus dan ambil isinya
  • 2 cawan santan pekat
  • 2 cawan air untuk tambahan | untuk sesuaikan pekat/cair
  • 1 labu bawang besar | kisar
  • 8 ulas bawang merah | kisar
  • 1 ulas bawang putih | kisar
  • 1 inci halia | kisar
  • ½ sudu teh lada hitam | tumbuk halus
  • 2 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa
  • serbuk perasa

BAHAN SAMBAL LADA:

  • Cili padi
  • Garam
  • Belacan

BAHAN ULAM-ULAMAN/HIASAN:

  • Tauge
  • Kacang panjang | hiris halus
  • Timun | hiris halus
  • Bunga kantan | hiris halus
  • Kubis| hiris halus

CARA MEMASAK KUAH:

 
  1. Kisar isi ikan bersama air hingga halus.
  2. Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk dan kacau hingga sebati.
  3. Jerang atas api dan hendaklah sentiasa dikacau sehingga mendidih untuk dapatkan tekstur kuah yang halus.
  4. Pastikan api tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Kacau hingga mendidih.
  5. Sesuaikan rasa dan tutup api.

CARA BUAT SAMBAL LADA:

  1. Satukan semua bahan dan kisar sehingga halus.
  2. Sesuaikan rasanya. 

Info chef: Jika kuah terlebih pekat boleh masukkan sedikit air panas.

 

3. RESEPI LAKSA SARAWAK

 BAHANBAHAN PES LAKSA SARAWAK (200gm)

  • 8 biji bawang merah | kisar halus
  • 4 ulas bawang putih | kisar halus
  • 10-12 tangkai cili kering | kisar halus
  • 1 inci lengkuas | kisar halus
  • 1 sudu teh ketumbar | kisar halus
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 3 biji buah keras | kisar halus
  • 2-3 batang serai  | kisar halus
  • 1 inci belacan bakar  | kisar halus
  • 1/4 cawan kacang tanah | digoreng dan dikisar halus
  • 1/4 cawan bijan | digoreng tanpa minyak dan dikisar halus
  • Sedikit garam
  • Sedikit minyak untuk menumis

BAHAN-BAHAN KUAH:

  • 200gm pes laksa
  • Isi ayam secukupnya | direbus dan dicarik halus
  • 1/2 kilo udang basah 
  • 1 bungkus bihun | direndam dan dicelur
  • 4 biji telur | didadarkan dan dihiris halus
  • 2 batang serai | diketuk
  • 250ml santan pekat
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Taugeh | dicelur
  • Sedikit daun ketumbar | diracik
  • Limau kasturi secukupnya | dibelah dua

BAHAN SAMBAL UDANG KERING :

  • 6 biji bawang merah | dikisar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar
  • Sedikit belacan bakar | dikisar
  • Segenggam udang kering | dikisar halus
  • 4-5 sudu makan cili kisar
  • Sedikit air asam jawa
  • Garam dan gula

CARA MEMASAK PES:

  1. Satukan semua bahan yang telah dikisar halus.
  2. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan tadi sehingga keperangan. Tambah garam dan sedikit gula. Kacau rata-rata.

CARA MEMASAK KUAH LAKSA:

 
  1. Panaskan 2 liter air dalam periuk. Kemudian masukkan udang yang sudah dibersihkan bersama serai. Rebus hingga udang masak. Kemudian toskan udang.
  2. Masukkan pes laksa ke dalam air rebusan udang tadi dan kacau menggunakan api perlahan. Boleh tambah air jika perlu.
  3. Masukkan santan dan perasakan dengan garam dan sedikit gula. 
  4. Masukkan mihun ke dalam mangkuk, letakkan bahan-bahan seperti taugeh, telur, daun ketumbar, isi ayam dan telur. Tuangkan kuahnya dan perahkan dengan limau kasturi. Hidangkan panas-panas.

CARA MEMASAK SAMBAL UDANG KERING: 

  1. Tumiskan bahan-bahan kisar dan cili kisar tadi hingga pecah minyak.
  2. Perasakan dengan garam dan gula dan masukkan air asam jawa. Kacau hingga pekat.

Info chef: Simpan pes di dalam bekas yang bertutup dan masukkan ke dalam peti sejuk untuk menyimpan dalam tempoh lama.

 

Sumber : Rasa 

Hantar Komen