Abang Askar Jaga Isteri Berpantang Bak Permaisuri, Layanan Tip Top Dari Anak Pertama Hingga Keenam

BERTUAHNYA seorang isteri apabila peng0rbanannya mengandung dan melahirkan anak dihargai si suami.

Segala kesakitan yang dirasai ketika bersalin hilang begitu sahaja tatkala melihat suami sama-sama memikul tanggungjawab bukan sahaja menjaga isteri yang berpantang, malah turut mengambil alih menjaga anak- anak.

Bagi wanita yang dikenali sebagai Siti Aminah Ismail ini, dia bersyukur kerana suaminya, Nor Qhaireel Izzuan Mohd Noor secara sukarela mengambil alih tanggungjawab menjaga dirinya yang sedang berpantang secara bersendirian tanpa bantuan ibu mahupun ibu mentua.

“Sewaktu saya melahirkan anak pertama dan kedua, saya berpantang di rumah ibu yang terletak di Langgar, Kedah. Ketika itu suami hanya membantu ibu saya saja. Rupa-rupanya dalam masa yang sama, dia memerhatikan bagaimana ibu saya menyediakan mandian, tungku, masakan dan juga cara mandikan bayi.

“Masuk anak ketiga, suami tawarkan diri untuk menjaga saya dan bayi di rumah kami sahaja. Kebetulan ketika itu kami di Labuan sebab suami bertugas sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), jadi memang jauh nak ke Kedah. Semua perkara dia buat, jaga saya yang berpantang dan juga bayi, malah dia ambil alih menjaga dua lagi anak kami.

“Jadi apabila melihat sikap ringan tangan suami, ketika itu memang fikir, kalau nak tambah anak pun tak ada masalah,” ceritanya.

Suami Siti Aminah ringan tulang membantu menguruskan rumah tangga ketika wanita itu sedang berpantang.

Terdahulu menerusi satu posting di Facebook baru-baru ini, Siti Aminah berkongsi cerita bagaimana suaminya membahagikan masa antara kerjaya dan tugas menjaga isteri yang sedang berpantang di rumah.

Dalam perkongsian tersebut, wanita ini berkata suaminya akan menyiapkan dan memastikan segala keperluan buat dirinya dan anak-anak disempurnakan sebelum keluar bekerja.

Posting tersebut mendapat lebih 4,000 perkongsian selain dihujani ribuan komen netizen yang memuji sikap suaminya.

Antara komen netizen yang memuji suami Siti Aminah.

Bercerita lebih lanjut, Siti Aminah yang baru melahirkan anak keenam pada September lalu berkata, dia tergerak hati untuk berkongsi rutin suaminya selepas diminta kenalannya untuk dijadikan sebagai panduan.

“Ada kawan tanya bagaimana suami saya menjaga isteri yang berpantang dan dalam masa yang sama menguruskan rumah tangga. Saya hanya memintanya buat carian di internet namun dia berkata tiada perkongsian oleh mana-mana individu.

“Jadi saya pun sekadar berkongsi pengalaman sendiri untuk dijadikan panduan siapa-siapa yang berkeinginan,” ujar wanita berusia 36 tahun ini.

Dia memang akan utamakan keluarga terlebih dahulu. Kalau lepak minum bersama kawan-kawan, dia pastikan keperluan anak-anak disiapkan dulu. Rakan sekerja memang tahu sikapnya yang ‘family man’. Bimbang juga dicop queen control, tapi suami kata usah bimbang sebab hanya dia yang tahu situasi sebenar.

SITI AMINAH ISMAIL

ISTERI

Menceritakan lebih lanjut, Siti Aminah turut mendedahkan suaminya boleh dikatakan bertukar hampir 360 darjah semenjak mereka menimang cahaya mata pertama.

“Suami saya sebelum kahwin memang seorang yang rajin, tetapi selepas dapat anak, dia bertambah rajin tambah-tambah lagi ketika saya berpantang. Sebelum ini kalau saya sihat, dia memang tak masuk dapur. Namun ketika saya berpantang, dia yang akan masuk ke dapur siapkan makanan saya dan anak-anak.

“Siap ambil inisiatif sendiri untuk Google resepi. Tapi dia akan rujuk saya atau ibu sebelum memasak bimbang bahan yang digunakan tak sesuai untuk wanita berpantang.

“Lagi satu, dia memang akan utamakan keluarga terlebih dahulu. Kalau lepak minum bersama kawan-kawan, dia pastikan keperluan anak-anak disiapkan dulu. Rakan sekerja memang tahu sikapnya yang ‘family man’. Bimbang juga dicop queen control, tapi suami kata usah bimbang sebab hanya dia yang tahu situasi sebenar,”ujarnya.

Selain memasak, suami Siti Aminah turut membantu menyediakan air mandian. 

Dalam masa yang sama, Siti Aminah berkata seorang suami sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab dan tidak berkira untuk membantu isteri dalam urusan rumah tangga.

“Kalau mahu isteri sihat, bahagia, gembira dan sentiasa ceria, cuba la buat apa yang isteri idamkan. Isteri memang tak cakap sebab risau suami tak suka. Tapi isteri akan hargai dan ingat sampai akhir hayat apa yang suami buat untuk kita.

“InsyaAllah kalau sama-sama tanggungjawab, rumahtangga akan bahagia. Kan ada kata-kata happy wife happy family’,” akhirinya.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: mStar


Hantar Komen