“Ada Yang Dipujuk Dari Musim Pertama Lagi” – Produksi Puas Hati, 50 Datang Uji Bakat 13 Bintang Terpilih GV6

Bahang rancangan realiti hiburan popular Gegar Vaganza musim keenam (GV6) sudah mula diperkatakan sejak beberapa bulan lalu.

Dan semalam, teka-teki penyanyi mana yang memasuki GV6 akhirnya terjawab menerusi sidang media pengumuman peserta GV6.

Berbeza daripada tahun-tahun terdahulu, GV6 membuka satu lagi ruang kepada penyanyi tempatan daripada 12 kepada 13 peserta tahun ini.

Jelas Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, pertambahan slot peserta GV6 dibuat berdasarkan permintaan ramai.

“Ruang itu maksimum untuk 13 peserta membuat persembahan mingguan, jika lebih daripada itu akan berlaku pertambahan masa siaran.

“Memandangkan terlalu banyak permintaan untuk melihat artis kesayangan beraksi di pentas GV6 kali ini, kami menambah satu lagi slot menjadi 13 peserta berbanding 12 tahun-tahun terdahulu,” katanya pada sidang media pengumuman peserta GV6 di Theatre The Gardens Mall, Kuala Lumpur semalam.

Tambah Raqim, senarai 13 peserta kali ini dipilih daripada 50 artis yang datang pada sesi uji bakat untuk GV6 tahun ini.

Malah, ada dalam kalangan peserta GV6 bersetuju untuk turut serta selepas dipujuk dari musim pertama lagi.

“Adatlah ada artis yang bertanding tahun ini hasil daripada pujuk-memujuk daripada musim pertama lagi.

“Mungkin kredibiliti rancangan GV sendiri membuka hati kepada beberapa artis untuk bersetuju dengan tawaran kami,” tambahnya.

GV6 masih mengekalkan hos Nabil Ahmad bergandingan bersama Jihan Muse dan Datuk Ramli MS sebagai Ketua Juri.

Manakala, tugas juri tetap digalas oleh penyanyi popular Indonesia, Hetty Koes Endang.

GV6 dibarisi enam penyanyi solo lelaki iaitu Sham Visa, Jatt, Roy, Ameer Sofazr, Hady Mirza dan Naqiu Boboy. Wann, Mazleela, Feeza, Noorshila Ami dan Nurfatima pula mewakili peserta wanita GV6.

Turut serta dalam GV6 ialah dua peserta duo berkumpulan iaitu Kool dan One Nation Emcees.

GV6 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 13 Oktober secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104), Ria HB(123) dan Astro GO setiap Ahad pukul 9 malam.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: Gempak


Hantar Komen