“Bukan Masalah Kasut, Tapi… – 3 Kali Tersungkur, Peserta Top 20 Dewi Remaja Farzana Zainul Akhirnya Cerita Apa Yang Berlaku

Model dan pelakon iklan, Farzana Zainul menafikan masalah kasut menjadi punca dia terjatuh sebanyak tiga kali ketika sedang melalui pentas peragaan untuk memperkenalkan barisan peserta Top 20 Dewi Remaja 2019 semalam.

Rakaman video Farzana tersungkur sebanyak tiga kali mula tular dan diperkatakan netizen.

Namun begitu, nasib tidak menyebelahi Farzana kerana dia tidak terpilih untuk menyertai barisan finalis Top 12 Dewi Remaja 2019.

“Bukan masalah kasut. Kasut ini telah saya gunakan lebih setahun dan saya merasakan kasut yang saya pakai ini merupakan kasut paling selesa yang pernah saya ada.

“Sebenarnya, karpet yang berada di atas pentas itu berlubang. Juri tetap Dewi Remaja, Scha Alyahya juga hampir terjatuh ketika melalui pentas terbabit.

“Sejujurnya, saya rasa kecewa tak dapat mempersembahkan cara ‘catwalk’ terbaik dan terjatuh sebanyak tiga kali.

“Tapi semuanya sudah tertulis. Walaupun terpaksa menahan kes4kitan terjatuh berulang kali, saya reda dengan perkara itu dan meneruskan sahaja perjalanan sambil tersenyum.

“Saya juga berterima kasih kepada alumni Hero Remaja, Harris Annuar kerana membantu saya untuk bangun ketika saya jatuh buat kali yang ketiga,” kata Farzana ketika dihubungi oleh Gempak.

Tambah pelajar tahun kedua jurusan Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya ini, dia mahu kekal positif biarpun videonya terjatuh mula disebarkan orang ramai.

“Sebenarnya, saya kurang gemar dengan perkara neg4tif. Saya tahu aksi saya sudah mula tular di laman sosial.

“Kalau boleh, saya tak mahu ada kata-kata yang kurang enak, tetapi apa yang boleh saya buat? Semuanya sudah berlaku.

“Buat masa ini, saya akan terus kekal positif. Semuanya suratan takdir dan saya berharap ada hikmah di sebalik kejadian, Insya-Allah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Farzana kecewa kerana tidak berpeluang untuk menyertai barisan peserta akhir Top 12 Dewi Remaja 2019.

“Memang saya mahu menjadi finalis Top 12, namun tidak terpilih. Sudah semestinya perasaan sedih dan kecewa itu terbit sedikit sebanyak. Tetapi saya tetap percaya dengan perancangan Allah.

“Bukan rezeki saya untuk menyertai mereka dan saya akan tetap menyokong rakan-rakan yang terpilih kerana mereka sangat berbakat.

“Buat masa ini, saya akan mencuba untuk terus mencari peluang bertapak dalam bidang seni, Insya-Allah.

“Saya akan terus bergelar pelajar, meneruskan khidmat sebagai model dan pelakon iklan serta mencari peluang untuk menjadi pelakon drama atau pengacara,” katanya optimis.

Pencarian pemenang untuk Dewi Remaja Edisi Ke-10 (2019/2020) bakal bermula tidak lama lagi!

Scha Alyahya dipilih sebagai juri tetap bagi bergandingan bersama Yusry Abdul Halim.

Sementara itu, selebriti jelita Amelia Henderson pula dipilih sebagai hos bagi Dewi Remaja musim terbaru ini.

Dewi Remaja 2019 bakal menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) mulai 26 Oktober ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!

Sumber : Gempak


Hantar Komen