Dosa Yang Tidak Diampunkan Punca Anak Tidak ‘Menjadi’ – Prof Muhaya Mohamad

Terngiang-ngiang ajakan Datuk Prof Dr Che Muhaya Haji Mohamad “Jom Audit Diri Kita” yang menyeru masyarakat meninggalkan perkara negatif seterusnya sentiasa berbuat baik lebih-lebih lagi bersangka baik terhadap Allah SWT. Tidak pernah lelah mendengar Prof Muhaya ini berhujah dan setiap butiran kata yang keluar dari bibirnya adalah benar belaka.

Tambahnya lagi peranan ibu bapa sangat besar dalam menentukan perkembangan hidup individu. “Setiap apa yang kita lakukan baik atau buruk pasti ada balasannya. Setiap ibu bapa perlu sedar apabila anak mereka tidak berjaya dalam hidup pasti ada kesilapan yang telah dilakukan suatu ketika dahulu terutama masa muda.

Benda yang paling  bahaya dalam hidup adalah tidak bertaubat di atas dosa yang dilakukan. Dosa yang tidak ditaubatkan akan menarik kejahatan dalam bentuk anak-anak tidak menjadi, tidak mendengar kata dan seterusnya mencipta keturunan tidak elok,” tutur Pakar Mata pertama di Asia Tenggara yang melakukan kaedah LASIK tanpa pisau system (Femtosecond Visumax) ke atas pembedahan mata pesakit ini.

“Saya nak bagi tip macam mana nak ubah kehidupan dengan membina imej baharu. Kalau sebelum ini imej sejak kecil iaitu umur dalam lingkungan di bawah 7 tahun, ibu sering melemparkan kata-kata negatif seperti kita ini seorang yang lembap.

Kita akan membesar dengan imej sebegitu kerana kata-kata tersebut telah direkodkan di dalam otak dengan imej lembap. Namun kita masih belum terlambat untuk berubah, bagaimana nak berubah? Senang sahaja, kita cipta ‘software’ yang baharu. Kita tukar skrip kehidupan dengan perkara yang baik-baik dan mempunyai hasrat untuk menjadi orang yang lebih baik daripada sebelumnya. Cuba tutup mata dan bayangkan diri sendiri dengan imej baik yang mahu ditampilkan.

Ini adalah cara kita bercakap dengan minda bawah sedar. Minda bawah sedar ini sebenarnya dibentuk sejak kita masih kecil lagi. 95 peratus kehidupan kita  disebabkan dan dipengaruhi oleh minda bawah sedar atau internal programming. Kemudian baca Al-Quran, solat witir, baca ayat 3 qul dan maafkan orang di sekeliling untuk bersihkan jiwa. Bangun esok pagi pasti menjadi orang yang baharu,” bicara wanita yang menghabiskan masanya dengan membaca.

Wanita adalah sebaik-baik perhiasan dan wanita juga insan yang begitu istimewa kerana mempunyai tiket mudah ke syurga. “Kita sebagai wanita memang dijadikan begitu istimewa. Namun, kelemahan wanita adalah mengumpat dan kufur terhadap suami. Orang setuju atau tidak setuju masalah utama wanita adalah melawan cakap suami, yang kedua sombong atau seteru dengan ibu mentua, yang ketiga garang terhadap anak-anak, keempat sering menunjuk-nunjuk dengan kawan-kawan dan kelima garang dengan pembantu rumah atau staf.

Formula kejayaan nombor satu adalah betulkan dan sempurnakan solat. Jika awal-awal lagi solat tidak sempurna atau tidak sah sudah pasti akan gagal di dunia dan juga di akhirat. Yang kedua perbanyakan taubat kerana doa orang yang berdosa paling tidak dimakbulkan oleh Allah SWT. Dosa-dosa yang berterusan serta tidak memohon keampunan Sang Pencipta akan menarik kejahatan menguasai diri,” terang Datuk Prof Dr Muhaya panjang lebar.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook 

sumber: Nona


Hantar Komen