“Isteri Tajul mengandung ke?” – Tajul Ariff tiada niat sorok status perkahwinan, bakal adakan sidang media beri penjelasan

TEKA-TEKI mengenai status Tajul Ariff sudah berkahwin atau belum masih menjadi tanda tanya apabila penyanyi itu tetap dengan pendiriannya memilih untuk mengunci mulut.

Pada Isnin, seorang pembaca mStar menghantar sekeping foto dan meminta penjelasan mengenai wanita yang didakwa isteri kepada penyanyi itu kini sedang hamil.

Tajul Ariff Noor Md Shari, 21, berkata dia akan menjawab segala persoalan netizen mengenai status hubungannya menerusi sebuah sidang media yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Tajul masih memilih untuk mengunci mulutnya mengenai status dirinya.

Penyanyi lagu Ibu ini turut menjelaskan bahawa dia memilih untuk berdiam diri bukan disebabkan mahu merahsiakan perkara tersebut namun melibatkan banyak pihak yang perlu diutamakan.

“Buat masa sekarang ini, memang tak ada apa-apa yang saya boleh nak dikongsi kepada semua tapi bila sudah tiba masa yang sesuai, saya akan beritahu.

“Insya-Allah, saya akan adakan sidang media untuk perjelaskan apa yang menjadi tanda tanya selama ini. Bukan niat saya nak sorok atau rahsiakan daripada sesiapa.

“Segala persoalan itu bukan hanya saya seorang sahaja tapi ia melibatkan banyak pihak dan  saya kena menjaga hati semua pihak,” kata Tajul kepada mStar.

Pada Jun tahun lalu, kecoh di laman sosial apabila Tajul dikatakan mengaku secara terbuka bahawa dia sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bernama Nurul Syamieza Eddie.

Bagaimanapun, Tajul menafikan perkara tersebut dan berharap peminat tidak salah faham dengan kenyataan yang dikeluarkan tanpa sengaja.

 

Saya tak kisah mereka nak kata apa atau nak buat andaian sendiri. Saya pun tak boleh nak tutup mulut orang supaya tak bercakap fasal saya.

TAJUL ARIFF

PENYANYI

Dalam pada itu, Tajul memberitahu dia tidak mempunyai hak untuk menutup mulut orang dan tidak kisah sekiranya netizen ingin membuat andaian mengenai dirinya.

“Saya tak kisah mereka nak kata apa atau nak buat andaian sendiri. Saya pun tak boleh nak tutup mulut orang supaya tak bercakap fasal saya.

“Jadi, saya terima saja apa yang mereka nak kata. Kita kongsi perkara yang baik atau tidak, netizen tetap akan ada andaian mereka sendiri,” ujarnya.

Sumber : Mstar


Hantar Komen