Karya Gabungan Idea Rizalman, Tunku Azizah Bakal Warnai Istiadat Pertabalan Agong

TANGGAL 30 Julai 2019 bakal menjadi hari paling istimewa buat seluruh rakyat Malaysia bersempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tarikh tersebut juga sangat bermakna buat pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim yang diberi tanggungjawab menyediakan persalinan buat baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada istiadat di Istana Negara itu.

Rizalman menyifatkan kepercayaan itu bukan kerana hubungan akrab beliau dengan baginda berdua, sebaliknya tanggungjawab sebagai seorang rakyat biasa yang menurut titah perintah.

Pun begitu kata Rizalman, beliau sangat merendah diri apabila diberi kepercayaan menghasilkan dua busana yang akan dipakai oleh baginda berdua pada hari istiadat rasmi negara tersebut.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat dan menerima persembahan kain tenun pada Majlis Penyerahan Kain Tenun Pahang Diraja sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara hari ini. – Foto BERNAMA 

“Saya sangat merendah hati dan berbangga sebagai seorang rakyat Malaysia yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab oleh baginda berdua untuk menghasilkan busana pada hari bersejarah itu,” katanya.

Bercakap mengenai persalinan itu nanti, Rizalman berkata, ia sebenarnya adalah hasil karyanya bersama Raja Permaisuri Agong yang banyak memberi input termasuk pemilihan fabrik.

Kata Rizalman, baginda sendiri memberi sentuhan pada rekaan dengan menggunakan kain tenun Pahang yang juga hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang.

“Tuanku seorang yang sangat detail mengenai rekaan, malah baginda sendiri memilih benang untuk kain tenun tersebut selain benangnya disulam membentuk lambang negeri Johor dan Pahang.

“Malah setiap dua minggu sekali baginda akan ke Penjara Penor dan Penjara Bentong untuk melihat perkembangan kerja tenunan itu,” katanya.

Hubungan Rizalman dan Baginda rapat sejak 15 tahun lalu. 

Bercakap lanjut mengenai busana itu, Rizalman berkata, buat masa ini beliau bersama 30 pekerjanya sedang bertungkus lumus menyiapakan persalinan itu yang mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

Selain persalinan buat Baginda berdua, Rizalman berkata, beliau juga diberi amanah untuk menyiapkan busana untuk kesemua sembilan anak-anak baginda iaitu Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Puteri Ilyana, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Sementara itu, Rizalman turut memberitahu beliau bersama pasukannya juga diberi tanggungjawab besar untuk menghias Balairong Seri Istana Negara tempat berlangsungnya istiadat pertabalan itu.

Untuk tujuan itu sahaja katanya, 100 orang daripada pasukannya akan ditugaskan merata hias Balairong Seri namun masih mengikut protokol yang ditetapkan.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: mStar


Hantar Komen