Sudah 6 Tahun Kahwin Belum Terima Cahaya Mata, Akhirnya Tunku Azizah Bantu Izzue Islam

PELAKON Izzue Islam meluahkan rasa terharu apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ingin membantu dia dan isteri untuk mendapatkan zuriat.

Menurut pemilik nama Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, dia menerima tawaran itu ketika bertemu dengan Tunku Azizah di belakang pentas selepas habis pementasan teater Mak Yong pada Oktober lalu.

“Saya memang terkejut dan terharu sangat apabila Tunku Azizah sendiri tawarkan nak bantu saya dan isteri untuk dapatkan zuriat.

Izzue dan Awin masih belum dikurniakan anak selepas tujuh tahun berkahwin.

“Kami bertemu di belakang pentas selepas saya habis pementasan teater Mak Yong. Waktu itu, memang tak cakap banyak sebab segan tak tahu nak borak apa.

“Permaisuri ada bertanya mengenai kehidupan saya sebab baginda mengikuti perkembangan saya. Baginda ada kata kalau perlukan pertolongan, beritahu saja,” katanya kepada mStar.

Izzue ditemui ketika sesi Meet & Greet duta Aura White Toothpaste X Guardian di Guardian IOI City Mall, Putrajaya pada Sabtu.

Untuk rekod, Yayasan Fertiliti Tunku Azizah yang diasaskan baginda menawarkan penajaan pasangan yang terpilih untuk rawatan IVF di salah sebuah Pusat Fertiliti yang mengambil bahagian di Malaysia.

Izzue rancang bertemu Tunku Azizah pada awal tahun hadapan.

Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan Forteen ini memberitahu dia belum berkesempatan untuk bertemu dengan Tunku Azizah disebabkan jadual kerja yang padat.

“Sehingga kini, saya belum lagi bertemu dengan baginda untuk peringkat seterusnya. Sebab tak ada masa yang sesuai memandangkan saya tengah sibuk penggambaran sebuah drama.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin habis saja penggambaran ini dalam sekitar awal tahun hadapan saya akan berjumpa dengan baginda,” ujarnya.

Izzue dan isterinya, Awin atau nama sebenarnya Nurinafilah Waharudin berkahwin pada 2 Jun 2013 namun sehingga kini masih belum dikurniakan cahaya mata.

Sumber : Mstar


Hantar Komen