Wanita Berusia 87 Tahun Terima Ijazah Buktikan Usia Bukan Penghalang Untuk Menimba Ilmu

Orang dulu-dulu kata proses menimba ilmu itu tiada penghujungnya. Bukan sekadar habis di sekolah atau pada usia tertentu, proses pembelajaran boleh terjadi bila-bila masa dan di mana juga.

Sama seperti seorang wanita ini yang berjaya menggenggam segulung ijazah di usianya 87 tahun. Kisah yang cukup sesuai untuk dijadikan inspirasi!

Wan Zainun Wan Abd Manan sudah pun berstatus moyang dan mempunyai 38 cicit menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) semalam.

Bukan itu sahaja, bekas guru besar sebuah sekolah di Terengganu ini juga turut menerima Anugerah Khas Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Menurut Wan Zainun atau lebih mesra dengan panggilan Tok Wan, pada 2014 dia mula menyambung pelajarannya dan mengakui menerima pandangan sinis kerana masih belajar biar pun di usia yang sudah lanjut.

Namun semua itu tidak mematahkan semangatnya kerana dia sememangnya gemar belajar dan dalami ilmu kerana baginya dengan belajar dia rasa lebih sihat dan membuatkan otaknya sentiasa berfikir.

Tambahnya lagi, kejayaanya itu adalah hasil sokongan keluarganya yang tidak putus-putus membantunya terutama sekali menantu Tok Wan yang gigih mengambil hantar ulang alik dari rumah ke kampus dan menyediakan bahan pembelajaran.

Tahniah kami ucapkan! Semoga kejayaan Tok Wan ini dapat memberi semangat kepada pelajar-pelajar di luar sana untuk menghabiskan pelajaran mereka. Jika Tok Wan boleh mengapa tidak anda?

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber: OUM / Sinar Harian via HCL


Hantar Komen