Indahnya Anugerah Allah..

MESKIPUN baru berusia 13 tahun, dia berani ‘ke depan’ mengimamkan puluhan jemaah pada solat sunat Tarawih di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang.

Lebih memukau apabila kelunakan suara dan alunan merdu bacaan al-Qurannya ternyata mendapat pujian ramai.

Itulah Muhammad Faris Farhan Mohd Jais, 13, anak sulung kepada pasangan Mohd Fauzi Mohd Jais, 45, dan Norziana Yahya, 39.

Menceritakan semula ‘detik’ itu, pelajar Maahad Tahfiz Darul Hikmah, Denai Alam itu mengakui sama sekali tidak menyangka akan menjadi ‘bualan’ ramai kerana hanya menyahut permintaan mudirnya, Abdullah al-Hakim Zainon yang juga imam di masjid berkenaan.

“Apabila, saya diminta menjadi imam, saya terus ke hadapan dengan yakin.

“Ia adalah penghormatan dan kepercayaan diberikan kepada saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Maahad Tahfiz Darul Hikmah, Denai Alam.

Dia bersyukur kerana berjaya melaksanakan permintaan mudirnya dengan baik walaupun masih pada usia muda.

“Alhamdulillah, banyak ilmu diperoleh di maahad tahfiz ini, tambahan ibu bapa dan semua guru sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menyokong apa yang saya lakukan,” katanya yang turut bercita-cita menjadi menjadi imam di Masjidil Haram di Makkah.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, sejak di dalam kandungan lagi, Muhammad Faris sudah ‘didendangkan’ dengan bacaan al-Quran dan minatnya terhadap aliran agama sejak di sekolah rendah.

“Justeru, saya memilih untuk menempatkannya di maahad tahfiz ini dan meskipun baru beberapa bulan di sini, Muhammad Faris sudah menunjukkan banyak perubahan,” katanya.

Hakikatnya, katanya, Muhammad Faris sama seperti remaja sebayanya yang gemar bermain permainan telefon bimbit dan pelbagai aktiviti sama seperti remaja lain.

“Malah, di rumah, dia tidaklah begitu melihat menghafal al-Quran sepanjang masa, bagaimanapun, salah satu ‘kelebihannya’ adalah dia cepat menghafal apa dibacanya,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, anak muridnya itu tidak gementar, gemuruh dan bacaannya begitu cemerlang.

Beliau berkata, rakaman video ketika remaja berkenaan menjadi imam itu tular di laman sosial sejak Rabu lalu.

Katanya, rakaman secara FB Live itu dibuat menerusi Facebook (FB) maahad tahfiz itu dan kini sudah mencecah lebih 10,000 tontonan sejak 6 Mei lalu.

“Alhamdulillah, Muhammad Faris antara pelajar menonjol meskipun dia baru di tahun pertama.

“Malah, ketika dia mengimamkan jemaah, dia langsung tidak gementar dan bacaannya lancar serta cemerlang, tambahan anugerah Allah SWT terhadap suaranya yang lunak dan merdu,” katanya.

Beliau berkata, maahad tahfiz itu baru beroperasi sejak empat bulan lalu menempatkan kira-kira 30 pelajar.

Menurutnya, ia mempunyai lima fasa, antaranya fasa membetulkan bacaan, memperkemaskan bacaan sebelum hafalan al-Quran.

“Manakala, sesi pembelajaran adalah dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

“Matlamat kami adalah untuk melahirkan muslim cemerlang dalam semua aspek.

“Bagaimanapun, masih terdapat banyak kekurangan dari segi dana dan kelengkapan, justeru, mereka yang ingin membantu boleh menghubungi maahad kami di 03-7832 7565,” katanya.

VIDEO :

Sumber : Metro


Hantar Komen