Sedia kembalikan Anugerah Ikon FELDA – Chef Wan

Chef Wan atau DATUK Redzuawan Ismail bersedia untuk memulangkan semula Anugerah Ikon FELDA apabila kenyataannya menegur sebahagian peneroka dan penduduk tanah rancangan itu gemar berpoligami dengan menggunakan perumpamaan ‘beranak pinak macam kucing’ menjadi isu.

Kenyataan beranak pinak macam kucing diberikan Chef Wan mendapat maklum balas pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa bekas menteri dengan menganggap ia keterlaluan.

Chef Wan berkata, beliau sedih apabila ada pihak menyalah tafsir apa yang diperkatakannya dan mempolitikkan kenyataan diberi.

Kata pengacara program masakan popular itu, beliau sudah menghubungi pihak pengurusan FELDA dan bersedia untuk memulangkan kembali anugerah diterimanya sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan terbabit.

Cef Wan dipilih menerima Anugerah Ikon FELDA kali ini yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2019 di FELDA Selancar 3, Rompin, Ahad lalu.

“Bagaimanapun kata mereka perkara itu tidak perlu. Cuma yang menimbulkan permasalahan apabila saya memberikan kenyataan dengan menggunakan perumpamaan atau peribahasa beranak pinak macam kucing.

“Masalahnya soal berkahwin ramai tanpa memikul tanggungjawab menjaga kebajikan keluarga dan anak memang berlaku dalam kalangan masyarakat FELDA.

“Perkataan apa sepatutnya saya guna pakai kalau tidak itulah perumpamaan dan peribahasa sesuai dengan situasi yang mahu diketengahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, jika apa diperkatakan itu salah mengapa ramai pengikutnya di laman sosial bersetuju sebaik saja beliau memuat naik kenyataan berkenaan.

Malah katanya, ada antara mereka turut berdepan masalah itu dan berkongsi cerita dengannya.

Chef Wan berkata, sebelum ini beliau juga pernah dilantik sebagai ikon FELDA dan turut memberi ceramah di serata FELDA selama dua tahun.

“Sepanjang tempoh itu saya melihat pelbagai permasalahan dihadapi penduduk FELDA. Ia berlaku kerana sikap sebahagian daripada mereka yang terlalu bergantung kepada subsidi.

“Bukan itu, saja ada antara mereka apabila dapat duit membazirkannya dengan membeli kereta mewah dan berpoligami,” katanya.

Katanya, beliau turut mengenali sebuah keluarga yang mana suaminya berkahwin ramai dan menghabiskan duit diterima kepada perkara tidak sepatutnya.

“Kesudahannya dia meninggalkan keluarga dan datang ke Kuala Lumpur bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Gaji yang diterima tidak cukup untuk menampung keluarganya yang besar dan saya membantu mereka bagi memastikan pendidikan anaknya tidak keciciran.

“Jadi adakah salah untuk saya mengenengahkan permasalahan yang berlaku bagi menyedarkan mereka,” katanya.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Limau Manis Press


Hantar Komen