Piala FA 2018: Yusri Tidak Mahu Pemain Pandang Rendah Pada Terengganu City FC

Skuad The Red Warriors mahu bermula dengan langkah kanan dalam saingan Piala FA musim ini apabila bakal melayan kunjungan Terengganu City FC pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Jurulatih sementara skuad itu, Yusri Che Lah mahu anak buahnya tanam mentaliti mahu menang dan pada masa yang sama enggan memandang mudah pada lawan.

“Matlamat utama kita adalah mencari kemenangan, itu paling mustahak kerana Kelantan mahu melangkah sejauh mungkin apatah lagi kempen Piala FA adalah landasan terbaik untuk mencipta kejayaan.

“Jadi sikap mahu menang perlu harus ada dalam jiwa pemain ini sendiri kerana kemenangan malam esok (ini) pasti akan meningkatkan moral mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Kesebelasan utama Kelantan. Foto: Wawan Faiz/CSN.

Yusri membayangkan akan melakukan sedikit rombakan selepas menilai keperluan pasukannya yang akan beraksi dalam dua pertandingan berbeza dalam tempoh seminggu.

“Tempoh rehat pemain juga kena ambil kira dan saya perlu lihat kepentingan mereka daripada pelbagai sudut termasuk kecergasan selepas mengharungi tiga perlawanan dalam masa tujuh hari, sebelum ini.

“Pendekatan saya kepada pemain untuk bertemu Terengganu City ini adalah dalam aspek bagaimana pasukan boleh bertahan kerana dalam aksi terakhir lalu kita melepaskan dua gol dan pemain tak boleh melakukan kesilapan sama,” katanya.

Pada masa sama, Yusri turut mengingatkan anak didiknya agar tidak memandang rendah keupayaan skuad kendalian Mohd Nor Derus walaupun beraksi dalam saingan Piala FAM musim ini.

Skuad Terengganu City FC. FOTO: TCFC

Pengalamannya ketika membimbing Felcra FC dua tahun lalu menyaksikan semangat mereka sangat luar biasa setiap kali berdepan pasukan daripada liga teratas.

“Saya pernah melatih kelompok pasukan seperti Terengganu City dan dalam kempen Piala FA, kita cuma kalah tipis kepada pasukan ternama dari Liga Super atau Liga Perdana.

“Saya tahu kemampuan pasukan dalam Piala FAM apabila jumpa lawan lebih bagus, mereka akan beri komitmen dua kali ganda. Jadi, kita jangan fikir Terengganu City tak boleh beri saingan dalam Piala FA,” katanya.

Terengganu City FC dibarisi oleh beberapa pemain yang berpengalaman dalam Liga M iaitu Izzaq Faris Ramlan, Hafizzuan Zailani dan beberapa orang lagi.

 

sumber:semuanyabola


Hantar Komen