” Saya Ni Memang ‘Hantu ayam’…” – Terima KFC Sebagai Hantaran, Tak Sempat Tukar Baju Terus ‘Ngap’ 2 Ketul Paha

PENING kepala dek kerana terlalu memikirkan senarai barang hantaran, ia sering menjadi asam garam buat pasangan yang mahu melangsungkan majlis bertunang atau perkahwinan.

Namun, seorang gadis amat bertuah kerana tanpa disangka-sangka sesuatu yang memang menjadi kesukaannya menjadi pilihan teratas dalam senarai barangan hantaran teratas dan paling unik!

“Sebab aku suka sangat ayam goreng! So, ya untung dapat tunang yang memahami hahaha semua orang gelak sebab KFC jadi hantaran,” kata gadis itu menerusi perkongsian di laman sosial Twitter @ayuyuyuyuu pada Rabu malam.

Gadis berkenaan, Mas Idayu Nanyan, 24, berkata, dia mengikat tali pertunangan bersama pemuda berusia 27 tahun, Abdul Fakih Akta di kediaman keluarganya di Ampang, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Perkongsian Ayu di Twitter mengenai hantaran ayam KFC.

Menjelang hari pertunangan itu, dia yang lebih mesra dengan panggilan Ayu memberitahu, kedua-dua mereka serabut memikirkan senarai barangan hantaran yang bersesuaian.

“Hantaran untuk lelaki dah selesai, tapi bila part hantaran perempuan, kami masing-masing dah tak tahu nak letak apa. Yang ada dalam senarai, sirih junjung dan cincin risik tunang, buah-buahan, cupcake dan coklat. 

“Saya ada bagi cadangan, saya kata letak ayam KFC okay ke? Sebab saya memang suka makan ayam. Dia kata tak macam pelik ke, tak pernah dibuat orang. Tapi, saya kata tak kisah, dia tak beri respons pasal hal tu sampai keluarga dia pun tanya betul ke nak bagi ayam KFC,” katanya 

Hantaran daripada kedua-dua belah keluarga termasuk ayam KFC.

Ayu berkata, dia amat menyukai ayam dan merupakan pelanggan setia restoran makanan segera itu dan sejak awal perkenalan, kedua-dua mereka sering menikmati hidangan berasaskan ayam semasa keluar bersama.

“Saya ni memang ‘hantu’ ayam, segala-galanya pasal ayam saya makan. Dating pertama kami makan burger ayam, dan lepas tu bermacam-macam lagi jenis ayam seperti ayam penyet, nasi ayam termasuk ayam KFC

Saya ni memang ‘hantu’ ayam, segala-galanya pasal ayam saya makan. Dating pertama kami makan burger ayam, dan lepas tu bermacam-macam lagi jenis ayam seperti ayam penyet, nasi ayam termasuk ayam KFC. – AYU

“Jadi, dia dah tahu apa yang saya suka. Kalau tak tahu nak makan masa keluar dating, dia macam biasa akan ajak saya makan KFC… saya sudah semestinya setuju,” ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.

Mengimbas kembali majlis pertunangannya, Ayu yang bekerja sebagai kerani berasa gemuruh dan perasaan itu lenyap sebaik ke ruang tamu untuk sesi menyarung cincin.

Ayu bersama keluarga pada majlis pertunangan.

“Saya keluar je terkejut nampak ada kotak bucket ayam KFC, fuh bau ayam tu memang buat saya teruja. Tapi cuba control ayu depan kedua-dua belah keluarga.

“Habis je majlis bertunang dan keluarga lelaki dah balik, saya cepat-cepat angkut semua hantaran dan susun kat dalam bilik.

“Baju tunang tak sempat tukar, kotak bucket ayam KFC tu saya bawa terus ke dapur dan ‘rasmikan’ dulu. Selesai dua ketul paha sebelum dikongsikan bersama ahli keluarga lain,” katanya secara berseloroh.

Ayu mengenali Abdul Fakih lebih setahun lalu sebelum memutuskan untuk bertunang . (Kanan) Antara perbualan Ayu bersama tunang mengenai ayam KFC.

Walaupun ia hanya ayam KFC bagi segelintir orang, tetapi Ayu lebih melihat ia sebagai satu pemberian yang amat bermakna kerana mempunyai nilai sentimental.

“Bagi saya, hantaran ni tak perlu mahal tapi yang lebih penting ada nilai tersendiri kepada setiap individu. Saya suka sangat kejutan ni dan amat menghargainya.

“Nanti masa kahwin kalau masih ada hantaran ayam KFC pun saya terima. Asalkan kenyang, saya senang hati. Doakan yang baik-baik buat kami,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Limau Manis Press

 Sumber : mStar


Hantar Komen